PENDIDIKAN KESELAMATAN JALAN RAYA
Sejak
kebelakangan ini, kadar kemalangan jalan raya semakin meningkat. Banyak nyawa
terkorban dalam tragedi tersebut. Oleh itu, kita haruslah mengambil
langkah-langkah untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Antara
langkah-langkah untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya adalah dengan
memberi didikan tentang pengetahuan dan kepentingan mematuhi peraturan jalan
raya kepada kanak-kanak sejak kecil lagi. Contohnya melalui mata pelajaran
PKJR, kanak-kanak diajar tentang maksud simbol-simbol pada papan keselamatan
jalan raya dan langkah-langkah keselamatan yang harus diambil ketika berada di
jalan raya. Ini dapat meningkatkan kesedaran kanak-kanak tentang kepentingan
menjaga keselamatan di jalan raya.
Seterusnya,kita
juga boleh mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita dengan
mematuhi peraturan-peraturan jalan raya yang ditetapkan seperti tidak
menggunakan telefon bimbit semasa memandu, mematuhi lampu isyarat dan
sebagainya lagi. Ini kerana, peraturan-peraturan ini diwujudkan bagi menjaga
keselamatan para pengguna jalan raya itu sendiri. Menggunakan telefon bimbit ketika memandu boleh mengurangkan
kosentrasi. Ini tentu boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.
Selain itu,
kerajaan juga boleh membantu dengan melaksanakan kempen-kempen bagi menerapkan
kesedaran kepada seluruh warga Malaysia. Modus operandi utama kempen ini
dijalankan adalah untuk menimbulkan nilai moral dan sivik serta menyuntik etika
dalam kalangan rakyat. Prakarsa ini dapat dijalankan dalam semua peringkat
meliputi sekolah, negeri, mahupun di peringkat kebangsaan. Pendedahan awal
kepada kanak-kanak misalnya amatlah wajar kerana pada ketika inilah mereka
mudah dibentuk mengikut acuan yang sebenar, bak kata pepatah, melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Maka tidak hairanlah apabila Kementerian Pelajaran
sendiri berganding bahu dengan Kementerian Pengangkutan melaksanakan program
“Pendidikan Keselamatan Jalan Raya” yang dianjurkan saban tahun. Justeru, sudah
terang lagi bersuluh, kempen-kempen tersebut berupaya untuk menurunkan kadar
kemalangan.
Di samping itu,
kita hendaklah menjadi pengguna jalan raya yang berhemah dan bertolak ansur.
Contohnya para pemandu hendaklah sentiasa berwaspada dan perlahankan kenderaannya
ketika melalui kawasan sekolah terutamanya pada waktu sibuk. Pada waktu inilah,
kanak-kanak sekolah biasanya akan bersikap cuai dan tergesa-gesa untuk melintas
jalan raya. Apabila pemandu perlahankan kenderaannya, maka kanak-kanak sekolah
dapat melintas dengan selamat.
Kesimpulannya,
setiap pengguna jalan raya hendaklah mengamalkan langkah-langkah keselamatan
jalan raya untuk mengelakkan kemalangan daripada berlaku kerana malang tidak
berbau. Besarlah harapan kita untuk berganding bahu agar dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Contoh-contoh simbol jalan raya:
Antara kesalahan-kesalahan peraturan jalan raya:
-tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal
-tiada lesen memandu
-cukai jalan tamat tempoh
-melanggar arahan lampu isyarat
-melakukan aksi berbahaya
Akibat tidak mematuhi peraturan jalan raya:
-kecederaan parah atau cacat seumur hidup
-meninggal dunia